PN TERIMA DANA JUDI, SEGERA AMBIL MAKLUMAT
Di sebalik tiada kertas
siasatan dibuka dan diancam mahu disaman, kemudian ditegaskan oleh Azalina
Othman Said bahawa siasatan tidak pernah digugurkan, Anwar Ibrahim nampaknya
tidak berganjak daripada penegasan bahawa dakwaannya yang menyebut PN menerima
dana syarikat judi ketika kempen PRU15 lalu adalah sesuatu yang berasas.
Perdana Menteri
berkata, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut jika
tidak mempunyai sebarang asas mengenainya.
Justeru, beliau meminta
Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yasin membaca kenyataannya dengan lengkap terlebih
dahulu sebelum berhasrat mahu mengambil sebarang tindakan undang-undang.
“Tetapi kalau dia
hendak teruskan saman, silakan. Saya tidak akan keluar kenyataan kalau saya
tiada asas,” katanya dengan tegas dan yakin.
Anwar seterusnya
berkata, siasatan berhubung isu itu melibatkan pelbagai agensi, maka tindakan
hanya akan diambil selepas mempunyai bukti.
Mahiaddin sebelum ini dilaporkan
menuntut Anwar serta Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf
kerana mendakwa PN menggunakan dana judi pada PRU15 dan akan berbincang dengan
peguam berhubung tindakan seterusnya.
Ia susulan jawapan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),
Azalina di Parlimen yang menyebut, siasatan berhubung dakwaan ada parti
komponen PN menerima sumbangan dana judi semasa kempen pilihan raya umum lepas
tidak menyebabkan ada kertas siasatan dibuka kerana maklumat mengenainya
terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkannya.
Bagaimanapun, dalam
kenyataan media kemudiannya, Azalina berkata, beliau tidak pernah menyatakan
siasatan itu sudah dihentikan atau digugurkan, malah menegaskan, SPRM berhak
membuka kertas siasatan pada bila-bila masa berdasarkan bukti yang diperolehi
daripada semasa ke semasa.
Apa yang nyata di sini,
selain kes ini belum digugurkan sebagaimana dinyatakan Azalina, perkara paling
penting ialah Anwar sendirinya nampaknya mempunyai bukti mengenai dakwaan PN
menerima dana judi itu.
Mengulangi apa yang
Anwar sebut – Saya tidak akan keluarkan kenyataan kalau tiada asas.
Jika Anwar sendiri
bertegas menyatakan beliau mempunyai asas atau bukti terhadap dakwaannya bahawa
PN ada menerima dana judi, bagaimana Azalina dalam jawapannya di Parlimen boleh
menyebut? – maklumat mengenai perkara itu terlalu umum dan tiada pihak yang
boleh mengesahkannya.
Sudahkah SPRM mengambil
keterangan atau maklumat daripada Anwar?
Jika belum dan
berikutan Anwar dilihat kekal dengan ketegasan “tidak akan bercakap jika tiada
asas”, maka SPRM haruslah segera menyelesaikan isu ini dengan seberapa segera.
Temuilah Anwar secepat
mungkin dan ambillah maklumat itu daripada beliau.
Rakyat secara umumnya
tentu juga tidak sabar untuk mengetahui kebenaran dalam hal ini.
No comments:
Post a Comment