KENYATAAN MEDIA PERDANA MENTERI
23 Februari 2024
Hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat
Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024 yang turut dihadiri
oleh Menteri-menteri, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha
Kementerian berkaitan serta Gabenor Bank Negara, selain wakil industri, wakil
pengguna, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang merupakan
ahli-ahli NACCOL.
Saya tegaskan bahawa Kerajaan perlu terus
memberi tumpuan penuh terhadap isu kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat
meskipun kadar inflasi semakin mereda kepada 1.5% setakat Januari 2024.
Kendatipun bekalan dan harga Beras Putih Tempatan (BPT) dalam
pasaran domestik secara umumnya terkawal, saya masih menerima aduan berhubung
isu bekalan BPT yang terhad. Rakyat juga terkesan dengan kenaikan harga Beras
Putih Import (BPI) di pasaran global berikutan larangan eksport yang dikenakan
oleh negara pengeluar beras. Saya tegaskan betapa campur tangan Kerajaan MADANI
pada ketika ini amat kritikal dan perlu diputuskan segera bagi memastikan isu
bekalan dan harga makanan ruji utama rakyat ini terus kekal stabil di pasaran.
Saya turut menyinggung kepentingan
mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan keberadaan beras di pasaran dan
tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan atau bertindak
mencampurkan kandungan BPT dan BPI untuk dijual dengan harga yang tinggi.
Mesyuarat turut mendengar penjelasan terperinci terkait cadangan
pelaksanaan Beras Putih Malaysia MADANI. Pada masa sama, beberapa wakil
industri dan NGO antaranya yang mewakili pesawah dan pengilang turut
menyuarakan beberapa cadangan dan pandangan berhubung situasi padi dan beras
negara, khususnya bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah
kepada rakyat.
Selepas mendengar dan mengambil kira semua
pandangan, mesyuarat mengambil ketetapan agar Kementerian Pertanian dan
Keterjaminan Makanan (KPKM) mengetuai dan menyelaras sesi libat urus secara lebih
terperinci sesegera mungkin. Libat urus ini perlu mengambil kira harga belian
padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras
tempatan serta kesan kepada pengguna. Saya turut mengarahkan supaya hasil libat
urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac 2024
sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Dalam tempoh itu, saya mengarahkan agar
program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan lain-lain
diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian, termasuk
beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran. Jadual pelaksanaan
jualan-jualan murah ini akan dihebahkan secara kerap.
Pada masa sama, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) juga
bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga BPI dalam pasaran
domestik supaya BPI boleh dijual pada harga lebih rendah, sekali gus mewujudkan
alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan beras dengan harga yang lebih
berpatutan.
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment