October 13, 2022

CALON PKR DIMUKTAMAD SEBELUM SPR BERSIDANG

Parti Keadilan Rakyat telah menetapkan garis masa ke arah memuktamadkan calon-calon untuk Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) menjelang mesyuarat Suruhanjaya Pilihanraya untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Sentimen pengundi sejak dua tahun lalu menunjukkan keputusan pengundi bukan lagi dipengaruhi oleh parti yang bertanding semata-mata. Kaji selidik menunjukkan secara konsisten bahawa faktor kewibawaan calon menyumbang 50% dari keputusan pengundi.

Oleh itu, mengambil kira sentimen pengundi yang menuntut mutu calon-calon yang lebih baik dari parti-parti yang bertanding, KEADILAN memperkenalkan proses saringan dan penilaian calon yang lebih telus, seragam, objektif dan demokratik.

Tatacara saringan dan penilaian calon yang digunakan dihuraikan secara terperinci di dalam Pekeliling JPRP Bil 2/2022 yang dilampirkan bersama.Prinsip-prinsip yang diguna pakai untuk memastikan proses saringan dan pemilihan calon kali ini dapat melonjakkan kewibawaan calon-calon yang diketengahkan (seperti yang dihuraikan di dalam Pekeliling) adalah seperti berikut:

1.     Proses saringan dan penilaian adalah lebih telus supaya pengundi, anggota parti dan bakal calon tahu kriteria dan proses pemilihan

2.     Pemilihan calon adalah lebih demokratik dengan melibatkan semua peringkat dalam dan luar parti untuk memastikan pandangan seberapa banyak pihak (pengundi, pimpinan akar umbi dan pimpinan pusat) diambil kira

3.     Senarai pendek calon ditentukan bersama oleh satu Jawatankuasa Calon yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden

 4.     Kriteria penilaian calon adalah lebih adil dan terbuka seperti di bawah:

 5.     Senarai pendek calon-calon yang dikemukakan kepada Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk dimuktamadkan telah melalui proses saringan dan penilaian yang rapi

KEADILAN mengucapkan terima kasih kepada ribuan rakyat Malaysia yang tampil menyatakan minat untuk menjadi calon. Jumlah pendaftaran di laman www.calonkeadilan.org setakat jam 10 pagi ini adalah 1,673 calon. Sekretariat Calon kini sedang menapis dan memberi pemarkahan awal supaya semua calon-calon berpotensi mula dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Calon pada malam ini.

Tumpuan rakyat untuk membezakan parti-parti yang bertanding dalam PRU15 adalah kepada kewibawaan, kepelbagaian, kemahiran profesional dan kesesuaian calon-calon yang diketengahkan.

Ini menjadi salah satu niche yang akan diberi tumpuan oleh KEADILAN untuk membezakan kami dari parti-parti dari BN dan PN.

 

No comments:

Post a Comment