MANUSIA APA PERTARUH NYAWA RAKYAT BUAT PRU MASA
BANJIR?
Pilihan Raya Umum
(PRU) ke 15 yang dipaksakan kepada rakyat akan diadakan pada musim tengkujuh
tahun ini.
Bagi Presiden
KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan membubarkan Parlimen
berlatarbelakangkan musim banjir bertentangan dengan kebijaksanaan yang
ditonjolkan Yang di-Pertuan Agong, nasihat dan unjuran yang dibuat peramal kaji
cuaca serta keluhan yang disuarakan ribuan rakyat Malaysia.
Tegas beliau, Pakatan
Harapan (PH) tidak gentar menghadapi PRU tetapi yang menjadi pertaruhan adalah
keselamatan dan kehidupan rakyat
“PH bersedia untuk
menghadapi PRU 15. Kami telah bersedia untuk berhadapan dengan gerombolan yang
telah mencurangi mandat PRU lalu.
“Kami juga bersedia
untuk memungkinkan sebuah masa depan yang mampan, makmur serta sebuah
pemerintah yang benar-benar prihatin dan punyai sikap belas kepada nasib dan
kebajikan rakyat.
“Saya menerima
sepenuhnya keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenan Parlimen
dibubarkan kerana Baginda bertindak berdasarkan peruntukan kuasa yang ada
seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, yang
dipersoalkan adalah niat pihak yang berkepentingan yang begitu gelojoh yang
mahukan pilihan raya diadakan pada saat sekarang,” katanya dalam perutusan khas
malam tadi.
Pengerusi PH itu juga
menyifatkan PRU pada musim banjir merupakan suatu penghinaan kepada lebih 20
juta pengundi dalam waktu kenaikan harga barang, gaji yang rendah, peluang
pekerjaan tidak cukup untuk para siswazah, kualiti pendidikan rendah, akses
kepada kesihatan bermasalah, simpanan tidak munasabah usia persaraan dan
sebahagian mereka pula bakal meredah banjir ke tempat membuang undi.
“Musim banjir telah
pun bermula tatkala sebahagian kawasan di Sabah, di bandar-bandar seperti Kota
Kinabalu, Tuaran dan Penampang telah ditenggelami air. Sebahagian kawasan sungai
Muar berdekatan Kuala Pilah telah melimpah dan menjejaskan dua kampung dan
kawasan sekitar. Di Baling pula lapan sungai telah melepasi paras bahaya. Pakar
cuaca juga menjangkakan hujan lebat akan berterusan.
“Manusia, parti
politik dan kerajaan jenis apakah yang berani dan sanggup mempertaruhkan nyawa
dan nasib rakyat dengan mengadakan pilihan raya pada saat ini?
“Usah kita diperdaya
dengan kerajaan yang hanya utamakan kepentingan mereka yang kononnya bagi
memulangkan mandat kepada rakyat,” katanya.
Menurut Anwar memang
mandat perlu dipulangkan selepas pengkhianatan Langkah Sheraton yang lalu
tetapi PRU yang diadakan dalam keadaan rakyat terdesak hampir sama keadaannya
dengan penipuan atau usaha menghalang pengundi dari melaksanakan tanggungjawab
mereka.
Jelas Anwar, kerajaan
BN – PN sebelum ini telah gagal mengemudi negara saat serangan wabak Covid-19
dan mengelak dari melakukan tanggungjawabnya di Parlimen.
Kerajaan sama
menyebabkan pilihan raya berlaku di Sabah mengakibatkan wabak Covid-19
mengganas di seluruh Malaysia dan 35,000 rakyat terkorban.
“Kerajaan ini juga
yang mengumumkan darurat bagi menggantung fungsi dan peranan Parlimen dari
berdepan di Parlimen. Kerajaan yang sama juga bohong kepada rakyat dan negara
terkait aplikasi MySejahtera dan skandal Digital Nasional Berhad.
“Kerajaan ini juga
berdusta berkenaan 1MDB. Ternyata kerajaan ini menipu tentang pemerolehan Kapal
Tempur Pesisir dan juga mengenai membendung kemiskinan dan akses kepada
pendidikan dan kesihatan,” katanya.
Maka, kata Ahli Parlimen
Port Dickson itu, tibalah masanya rakyat membetulkan kembali keadaan dengan
menumbangkan BN dan PN dalam PRU 15.
“Tiba masanya untuk
kita merampas semula negara ini dari kerakusan perompak dan penindas, serta
dari gerombolan yang sibuk memperkayakan keluarga dan kroni mereka, manakala
rakyat di bawah terus menderita menanggung kos sara hidup yang terus
membengkak.
“Kepada anak-anak muda
yang akan mengundi kelak, saya tekankan bahawa pilihan pada pilihan raya yang
akan datang akan memberi kesan yang besar kepada masa depan rakyat dan negara.
“Kita perlu buat
sehabis baik dalam memastikan negara ini mendepani permasalahan yang mendesak
saat ini, yakni kos sara hidup yang tinggi, akses kepada pendidikan yang
berkualiti, mengembalikan keyakinan kepada ekonomi kita serta memastikan
pelaburan yang setara buat Malaysia.
“Kita pastinya akan
buat yang terbaik dalam melindungi alam sekitar dan mempersiap negara dalam
memampan dampak kemelut iklim dan alam sekitar,” katanya lagi.
Justeru, Anwar menyeru
kepada rakyat Malaysia bahawa tiada pilihan lain di tangan mereka kecuali
mengganti pemerintah negara dengan yang lebih baik.
Malaysia mesti bangkit
daripada kemunduran yang dicipta lewat isu kleptokrasi, salah tadbir urus,
kepada kerajaan yang mampu mengembalikan negara berada pada kedudukan
selayaknya.
No comments:
Post a Comment