KINI HANYA ADA JALAN MATI DI DEPAN GTA
Walaupun hari penamaan calon ada kira-kira seminggu lagi, cubaan Tun Mahathir Mohamad mencari rakan kerjasama bagi GTA nampaknya terus menemui jalan buntu.
Jika sebelum ini PH dan Anwar Ibrahim
dengan tegas menolak pelawaan bekerjasama yang dihulurkan Tun Mahathir dengan
mengatakan lebih baik beliau bertemu rakyat daripada berjumpa dengan bekas
Perdana Menteri itu, semalam PN dan Mahiaddin Md Yasin juga mengambil keputusan
yang sama.
Pengerusi PN itu berkata, pihaknya telah
mengambil keputusan untuk menghadapi PRU15 dengan parti komponen sedia ada
saja.
“Tak ada langsung perbincangan (dengan
GTA)… kita putuskan untuk meneruskan atas inisiatif gabungan sedia ada
semata-mata.
“Bukan tak nak bekerjasama tetapi kita
putuskan untuk buat apa yang kita telah susun sejak awal.
“Masing-masing akan teruskan dengan
agenda PN, bukan PN Plus dan sebagainya,” kata Mahiaddin selepas
mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PN.
Respon Mahiaddin itu adalah berikutan
kenyataan Tun Mahathir yang menyebut GTA dan PN telah memulakan rundingan bagi
membentuk kerjasama bagi menghadapi PRU15 akan datang.
Kenyataan Tun Mahathir yang muncul
semalam itu adalah selepas hasrat beliau untuk bekerjasama dengan PH hanya
mendapat reaksi dingin daripada Anwar, meskipun ada beberapa penganalisa dan
ahli akademik tidak henti-henti menyarankan perlunya kerjasama itu diwujudkan.
Ada maklumat memberitahu, sebenarnya
tiada sama sekali sebarang pertemuan, apa lagi rundingan, antara pemimpin PN
dengan Tun Mahathir sebagaimana yang dinyatakan bekas Perdana Menteri itu.
Kata maklumat itu lagi, pemimpin PN hanya
pernah bertemu dengan Tun Mahathir kira-kira empat bulan yang lalu, tetapi
tidak langsung membincangkan soal kerjasama dengan GTA, jauh sekali berunding
tentang pembahagian kerusi.
Pertemuan tersebut adalah dalam
pengetahuan Mahiaddin selaku Pengerusi PN dan sekadar untuk menghormati Tun
Mahathir yang menyatakan keinginan bertemu melalui seseorang yang dihantar
khusus bagi tujuan tersebut, tambah maklumat itu lagi.
Bermakna sekarang, dengan penegasan
Mahiaddin semalam, adalah jelas dan muktamad bahawa PN tidak akan bekerjasama
dengan GTA serta dengan mana-mana pihak yang lain.
Lagi pula, soal pembahagian kerusi antara
parti-parti dalam PN sudah pun selesai dan tiada ruang lagi untuk pihak luar
berunding berkenaan dengannya.
Dalam hal ini, keputusan Mahiaddin
menolak untuk bekerjasama dengan GTA adalah keputusan yang wajar, tepat serta
bijak.
Sama seperti Anwar yang lebih dulu
menolak GTA dan keputusan itu menyebabkan banyak pihak memuji pendiriannya,
Mahiaddin juga sebenarnya layak diberi pujian atas ketegasannya itu.
Ini kerana, Tun Mahathir adalah toksik
yang seharusnya dijauhi, bukannya didekati, selain kedudukannya tidak lagi
relevan untuk dibuat kawan.
Tambahan pula, hasrat bekerjasama yang
ditawarkan oleh Tun Mahathir tidak memberi apa-apa nilai tambah, baik kepada PH
mahu pun PN, sebaliknya hanya untuk GTA menumpang kekuatan dua gabungan itu
bagi memastikan nyawa politiknya tidak mati di tengah jalan.
Kini, dengan PH atau PN tidak mahu
berkawan dengan Tun Mahathir, yang ada di depannya hanyalah jalan mati, kecuali
laluan menuju ke “pusara kematian” semakin terbentang luas buat GTA selepas
saja hari pengundian 19 November nanti.
No comments:
Post a Comment