October 30, 2022

 

UNDI CALON ATAU UNDI PARTI?

Dah tahun 2022, masih ada yang anggap kerja Ahli Parlimen ni ialah turap jalan, tebas lalang, bersihkan parit, buat jambatan, baiki keretakan rumah, ziarah orang meninggal, dan macam-macam kerja kebajikan lagi. 

Kena faham ye, kerja turap jalan, tebas lalang, bersihkan parit, bina jambatan, ini semua tugas jabatan kerajaan macam JKR, DBKL. Kalau baiki keretakan rumah tu, ini tugas pihak pemaju. Jadi Ahli Parlimen ni buat apa? Apa tugas diorang? 

Ahli Parlimen ni hanyalah wakil rakyat. Maksudnya, diorang ni rakyat juga, kuasa diorang tak lebih besar pun daripada rakyat biasa lain sampai boleh petik je duit kerajaan untuk buat itu ini. Lebihnya diorang berbanding kita ni adalah pada aspek PENGARUH. Bila orang tu ada pengaruh, maka, cakap dia orang akan dengar. Dalam bahasa medsos, wakil rakyat ni sama macam 'Influencer' lah. 

Jadi, tugas wakil rakyat dalam kes2 di atas ni ialah mengajukan permasalahan kepada pihak2 berkenaan untuk tindakan lanjut. Mungkin ada yang akan kata, "hmmm, kalau setakat tu, aku pun boleh buat". Betul, kita rakyat biasa pun boleh buat kerja macam tu. Tapi, berkesan ke tidak? Kalau pegawai JKR tak pedulikan aduan kita, apa yang kita boleh buat kat dia? Bukannya rakyat boleh pecat diorang. Yang boleh pecat diorang ialah Ketua Pengarah (KP). Kalau KP pun kawtim dengan pegawai-pegawai dia, siapa pula boleh pecat Ketua Pengarah? Tetap bukan rakyat biasa.  Jadi bawa pula ke peringkat Ketua Setiausaha Kementerian (KSU). Dah kalau KP tu golf buddy dengan KSU, awak rasa dia nak pecat? Bila KSU tak boleh harap, bawalah pula ke Menteri. Dah kalau Menteri dgn KSU ni kawan rapat sama2 terjun kolah kat asrama dulu, awak rasa dia nak pecat? Maka akhirnya, terpaksalah bawa ke Perdana Menteri (PM). Kalau PM adalah seorang yang korup, semua kes-kes aduan rakyat tadi akan tutup. Kalau nak penjarakan PM pun, Peguam Negara (AG) je yang boleh mulakan proses. Tapi kalau AG pun dilantik atas sokongan PM, awak rasa?  Kalau nak pecat PM, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sendiri pun tak boleh nak pecat PM melainkan dengan 1 sebab sahaja.

Satu-satunya sebab untuk YDPA boleh pecat PM ialah jika majoriti Ahli Parlimen hilang kepercayaan terhadap PM tersebut. Inilah pengaruh yang saya maksudkan. Kuasa sebenar Ahli Parlimen ialah mempengaruhi YDPA untuk melantik seorang Perdana Menteri untuk control hampir semua benda dalam Malaysia ni menerusi penggubalan polisi kerajaan dan pelantikan penjawat-penjawat awam. 

PM yang korup, akan lantik Menteri yang korup. Menteri yang korup, akan lantik KSU yang korup. KSU yang korup, akan lantik KP yang korup. KP yang korup, akan lantik pegawai yang korup. Pegawai yang korup, akan buat rakyat menyirap. 

Persoalannya, macam mana YDPA nak tahu, seseorang Ahli Parlimen tu menyokong siapa sebagai PM? Negara kita pakai sistem Westminster. Maksudnya, YDPA selaku Ketua Negara, akan menilai kecenderungan sokongan seseorang Ahli Parlimen tu, melalui parti politik yang dia wakili. 

Ketua blok parti politik yang memiliki majoriti ahli dalam Dewan Rakyatlah yang akan dijemput ke Istana untuk membentuk Kerajaan. Dalam konteks PRU15, ada 3 blok yang berpotensi untuk jadi Kerajaan: Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).  Calon PM daripada BN masih samar-samar. Setakat yang diwar-warkan, Ismail Sabri lah yang akan jadi PM kalau BN menang.

Tapi kena ingat, yang akan dijemput ke Istana Negara ialah ketua blok parti. Ismail Sabri bukanlah Pengerusi BN. Pengerusi BN ialah Zahid Hamidi.  Dan kita tahu perangai UMNO time PRN Johor hari tu, calon yang dijanjikan lain, calon yang dijadikan lain. Maka, secara realistiknya, kalau BN menang, Zahid Hamidilah yang akan jadi PM. Kalau Zahid Hamidi jadi PM, faham-fahamlah... 

PN? Calon PM daripada PN setakat ni ialah Mahiaddin Yasin (TSMY). Tapi orang PAS mungkin nak Hadi Awang. Jadi risiko perebutan kuasa tu masih ada. Tapi katalah calon tunggalnya ialah TSMY. Saya akui, TSMY agak popular. Ada orang kita suka TSMY sebab time TSMY lah, diorang dapat duduk rumah lama tak payah pergi ofis sambil tengok dia baca doa kat TV. 

Tapi kalau kita kisah sikit kat rakyat yang tak ada keistimewaan macam kita yang bergaji tetap ni, kita dapat lihat pentadbiran TSMY sangatlah tidak cekap dan banyak menyusahkan rakyat. Dan kalau kita tengok style TSMY, beliau ni memang kaki kawtim. 

Buktinya, menteri-menteri yang tak function macam Rina Harun, kekal ke akhirnya dalam kabinet beliau. Orang macam Tajudin Salak pun nak dilantiknya jadi Duta Besar kita kat Indonesia. Negara akan tenat kalau punyai PM yang berkaki kawtim ni. Aduan rakyat lambat nak selesai. 

Akhirnya calon PM daripada PH; @anwaribrahim (DSAI). DSAI adalah satu-satunya calon PM PH dan tiada orang dalam PH sekarang ni yang nak sailang beliau macam Azmin Ali nak sailang dulu. Maksudnya, kerajaan PH kali ni kalau terbentuk akan stabil sebab dah tak ada perebutan kuasa. Tapi saya akui, ramai je yang meluat dengan beliau; terutama orang Melayu. Tapi hakikatnya, antara ketiga2 calon ni, DSAI lah yang paling tegas terhadap perasuah. Kalaupun DSAI pernah juga kawtim2, kita semua tahu orang yang banyak pengaruhi Anwar sekarang ialah @rafiziramli.  Kalau orang macam Rafizi ni ada dalam kerajaan, saya personally selaku rakyat, akan rasa lega sedikit.

Saya percaya gandingan Anwar-Rafizi akan menjadikan pentadbiran Malaysia lebih cekap dengan penghapusan rasuah dari peringkat Kementerian sampailah ke peringkat Jabatan. Selain daripada penghapusan rasuah, negara juga sangat memerlukan pelaburan asing untuk merawat ekonomi negara yang agak teruk sekarang akibat Covid dan Perang Russia-Ukraine.

Sekarang, Malaysia dah kalah dengan Indonesia dan Vietnam dari segi tarikan pelabur asing.  Antara Ismail Sabri, TSMY dan DSAI, hanya DSAI seorang yang dah ada nama di peringkat antarabangsa. Kita tak perlu nak introduce DSAI kat diorang. Bila orang dah kenal, tak susah kita nak bina kepercayaan. Membina kepercayaan ni perlu untuk tarik org luar melabur kat negara kita. Jadi kalau kita berbalik semula kepada soalan "undi calon atau undi parti?", jawapannya sudah jelas. PARTI perlu didahulukan berbanding calon. Kalau calon tu warak sekalipun, tapi kalau calon PM parti yang dia wakili tu ialah seorang yang tidak cekap, kewarakannya tiada berguna.


No comments:

Post a Comment